Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Mesyuarat Khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan diadakan pada Khamis ini dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, mesyuarat berkenaan diadakan pada jam 9.30 pagi di Dewan Muhibbah, Hotel Merdeka Palace di Kuching Sarawak.

"Mesyuarat berkenaan akan membincangkan tarikh penting seperti Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu serta persiapan lain diperlukan.

"Selepas itu, ia akan diikuti satu sidang media oleh Pengerusi SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 11 April (hari ini).

Adenan dilaporkan berkata, beliau sudah bertemu Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di kediamannya bagi meminta supaya DUN dibubarkan.

Katanya, Tun Abdul Taib bersetuju DUN dibubarkan pada 11 April .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 10:25 AM