Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Sibu: Ketua Menteri Sarawak menjelaskan pengumuman tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang diumumkan dalam satu majlis, malam tadi, hanya cadangan.

Tan Sri Adenan Satem, berkata ia masih tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, cadangan itu dibuat ketika pertemuan tidak rasmi dengan wakil SPR baru-baru ini.

"Saya tidak mahu melangkaui bidang kuasa SPR kerana pengumuman tarikh PRN adalah di bawah tanggungjawab mereka dan bukan saya.

"Saya tidak tentukan apa yang perlu dilakukan SPR kerana saya tahu itu bidang kuasa mereka untuk mengumumkan tarikh PRN, selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya harap penjelasan ini dapat menjawab semua isu yang timbul" katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari RELA Ke-44, di Dataran Sibu, hari ini.

Ketika menghadiri satu majlis anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok, malam tadi, Adenan dilaporkan mengumumkan beliau mencadangkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon dan 30 April hari pengundian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 2:03 PM