Ainul Fatihah Mansor

Kuala Lumpur: “Sebelum meninggal dunia disebabkan serangan jantung, arwah isteri sempat berpesan supaya menjaga dan melakukan apa saja usaha untuk pastikan anak bongsu kami sembuh,” kata Yusli Yusof, 47.

Dia yang datang dari Sik, Kedah berkata, anak ketiganya, Siti Nadiya, 16, menghadapi masalah saluran pernafasan sempit sejak dilahirkan.

“Sejak dulu lagi doktor menasihati membawa anak menjalani pembedahan, tapi saya tiada duit untuk membiayai kos rawatan,” katanya sebak ketika ditemui di Hospital Gleneagles, Ampang, di sini, semalam.

Yusli berkata, pendapatan RM600 sebulan sebagai penoreh getah tidak cukup untuk menanggung kos rawatan sebanyak RM50,000.

Katanya, pada masa sama, dia juga dibantu anak keduanya, Muhammad Syamil, 19, untuk menoreh getah kerana hanya itu saja sumber pendapatan keluarga mereka.

“Ketika ini, sayalah bapa dan ibu buatnya. Saya harap saya dapat menunaikan hasrat arwah isteri sebelum saya pula ‘menutup mata’,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi di talian 03-27248977.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:24 AM
YUSLI sebak ketika menceritakan penyakit dihidapi Siti Nadiya.
YUSLI sebak ketika menceritakan penyakit dihidapi Siti Nadiya.