AUDREY (kiri) bersama Chan dan Robin pada program ‘Media Prima-NSTP Humanitarian Fund’ di Hospital Gleneagles,  Ampang.
AUDREY (kiri) bersama Chan dan Robin pada program ‘Media Prima-NSTP Humanitarian Fund’ di Hospital Gleneagles, Ampang.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan sumbangan RM60,000 bagi menampung kos perbelanjaan pembedahan di Hospital Gleneagles, di sini.

Bayi berkenaan, Robin Jason Chan dari Pengkalan Gurah, Limbang, Sarawak disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak lahir.

Ibunya, Audrey Anak Jais, 32, berkata, sejak anaknya dilahirkan pelbagai rintangan harus dihadapi keluarganya demi anak bongsunya itu.

“Sejak dilahirkan Robin pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Miri (HM) selama hampir dua bulan sebelum dirujuk kepada pakar perunding pediatrik di Hospital Gleneagles, di sini,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga risau dengan keadaan kesihatan Robin sekiranya pembedahan menutup lubang di jantung anaknya itu lambat dilakukan.

“Robin memerlukan pembedahan segera kerana kesihatannya kini semakin merosot. Kesukaran bernafas mengakibatkan mukanya menjadi biru.

“Badannya juga semakin hari semakin lemah dan kerap berpeluh pada waktu malam.

“Saya sekeluarga bimbang anak bertambah kritikal jika kami gagal mengumpul wang yang diperlukan dengan segera,” katanya.

Katanya, jumlah RM60,000 itu terlalu besar untuk dikumpul dalam masa terdekat kerana suaminya hanya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27248977.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:08 AM