LIM (kanan) melihat Wen Xuan  (tengah) yang akan menjalani pembedahan saluran jantung tersumbat sambil ditemani  Tan  di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang.
LIM (kanan) melihat Wen Xuan (tengah) yang akan menjalani pembedahan saluran jantung tersumbat sambil ditemani Tan di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Anak saya, Wen Xuan akan mati jika tak buat pembedahan sekarang,,” kata Tan Mooi Chee, 38, bapa kepada Tan Wen Xuan, 11, yang menghidap masalah jantung berlubang dan saluran injap jantung tersumbat.

Menurut Tan, anak bongsunya yang lebih mesra dipanggil Wen Xuan dikesan menghidap masalah penyakit berkenaan sejak kecil.

“Pembedahan pertama membetulkan jantung anak saya yang berlubang itu dilakukan ketika berumur lapan bulan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur (HGKL) dengan kos pembedahan dibiayai seorang ahli perniagaan.

“Doktor yang merawatnya berkata anak saya sepatutnya perlu melakukan pembedahan kedua selepas 20 tahun tapi lama kelamaan saluran injap jantungnya semakin kembang dan ini boleh mendatangkan risiko kematian pada bila-bila masa.

“Jadi doktor mengesyorkan kami melakukan pembedahan kedua secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di HGKL, semalam.

Tan yang menetap di Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor berkata, dia dan isterinya Lim Hui Ting, 35, terpaksa memujuk dan memberikan kata perangsang kepada Wen Xuan supaya menjalani pembedahan itu.

“Masa saya beritahu akan dibedah buat kali kedua, Wen Xuan menangis kerana takut.

“Tapi, saya dan ibunya memujuk, dia perlu membuat pembedahan ini sekiranya mahu terus hidup bersama kami, jika tak kami akan berpisah buat selama-lamanya,” katanya.

Tan yang bertugas sebagai guru berkata, dia tiada pilihan kecuali mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM20,000 bagi menampung membiayai separuh daripada jumlah sebenar pembedahan Wen Xuan kos RM50,000.

“Kami tiada duit simpanan sebanyak itu, jadi jalan terakhir adalah dengan mengeluarkan duit KWSP.

“Itupun masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos pembedahan. Jadi saya berharap ada pihak sudi bantu kami membiayai kos pembedahan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27248977.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 8:57 AM