Brian     dijatuhi hukuman 94 sebatan di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Brian dijatuhi hukuman 94 sebatan di Kompleks Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Norrasyidah Arshad

Shah Alam: Mahkamah Sesyen, semalam menjatuhi hukuman 94 sebatan terhadap seorang bekas eksekutif jualan di sebuah kilang barangan elektronik selepas didapati bersalah atas 47 tuduhan pecah amanah membabitkan kerugian lebih RM800,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Brian Tiong Meng Hong, 35, dihukum penjara 12 tahun dua bulan selepas disabitkan dengan kesalahan yang dilakukan antara September 2012 hingga Februari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan iaitu dengan curang menyalahgunakan harta syarikat seperti televisyen, peti ais dan mesin basuh yang diamanahkan kepadanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Seksyen 22 antara September 2012 hingga 2013.

Hakim G Ramesh membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah selepas kes pembelaan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah,” katanya.

Ramesh kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan selepas peguam bela tertuduh, Esther Jayaraja memohon ia ditangguhkan sementara pihaknya membuat rayuan.

“Mahkamah turut meningkatkan wang jaminan daripada RM10,000 kepada RM30,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan, selain tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, bekas pengurus kewangan syarikat swasta dijatuhi hukuman penjara 11 tahun selepas didapati bersalah terhadap 19 tuduhan pecah amanah dan salah guna wang syarikat membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Tertuduh, Hazni Md Turee, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di Permintex Sanko Technologies Sdn Bhd di Bukit Beruntung antara Oktober 2009 hingga Februari 2011.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan 11 kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan membabitkan RM433,000 dan lapan tuduhan mengikut Seksyen 409 kanun sama membabitkan kerugian RM639,000.

Peguam bela Tina Ong memohon supaya pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan.

Ramesh membenarkan permohonan terbabit dengan meningkatkan jumlah jaminan daripada RM40,000 kepada RM55,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Raimi Mohd Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 8:09 AM