Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM20,000 terhadap bekas penimbang tara bertauliah warga Britain, Yusof Holmes Abdullah, 73, atas tuduhan menipu Pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan Yusof Holmes yang memiliki status penduduk tetap Malaysia menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara enam bulan lagi, jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Yusof Holmes didakwa menipu Pengarah KLRCA bahawa 'Statement of Independence' bertarikh 18 Januari 2010 yang ditandatanganinya adalah benar sehingga mendorong Pengarah KLRCA melantiknya sebagai penimbang tara dalam pertikaian antara JMT Construction Sdn Bhd dengan Nanjing Changjiang Waterway Engineering Bureau di KLRCA pada 25 Januari 2010.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 12:09 PM