MOHAMED Jawhar (tengah) melihat buku Fenomena 25 Tahun HM bersama dari kiri, Mohammad Azlan, Amrin, Mustapa dan Abdul Jalil.
MOHAMED Jawhar (tengah) melihat buku Fenomena 25 Tahun HM bersama dari kiri, Mohammad Azlan, Amrin, Mustapa dan Abdul Jalil.
MOHAMMAD  Azlan (tiga dari kanan) dan Ahmad Salim (empat dari kanan)  bersama penerima Anugerah Laporan Khas Sindiket Penjualan Bayi.
MOHAMMAD Azlan (tiga dari kanan) dan Ahmad Salim (empat dari kanan) bersama penerima Anugerah Laporan Khas Sindiket Penjualan Bayi.
WARGA kerja  Harian Metro yang menghadiri majlis ulang tahun ke-25  di Pusat Konvensyen Shah Alam.
WARGA kerja Harian Metro yang menghadiri majlis ulang tahun ke-25 di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Na'imah Mohamed


Shah Alam: Ulang tahun ke-25 akhbar Harian Metro (HM) disambut dalam suasana begitu meriah dalam majlis makan malam yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam tadi.

Kira-kira 300 tetamu hadir pada majlis itu termasuk bekas pengurusan kanan dan kakitangan serta warga kerja akhbar terbabit.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada malam gilang-gemilang itu adalah Pengerusi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar dan Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Ahmad Salim Bachok serta pengurusan kanan HM.

Turut hadir, bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Nazri Abdullah, bekas Pengarah Urusan NSTP, Datuk Khalid Ahmad, bekas Pengarang HM, Ahmad Puad Onah serta bekas Pengarang Eksekutif HM, Zian Johari.

Mustapa dalam ucapannya berkata, ketika mula memimpin HM 11 tahun lalu, kerjasama daripada warga kerja akhbar itu memainkan peranan penting sehingga berjaya menukar imej daripada akhbar picisan kepada akhbar nombor satu negara.

“Pertama kali saya mendapat berita penugasan saya di HM, saya akui perasaan kurang gembira, namun pada hari pertama menjejakkan kaki ke pejabat, semangat saya membuak-buak selepas melihat ketekunan dan semangat warga kerja HM ketika itu.

“Saya yakin dengan semangat warga HM yang ada sehingga kini, kita mampu bertahan,” katanya.

Pada majlis itu turut dilancarkan buku ‘coffee table’ Fenomena 25 tahun HM yang dilancarkan Mohamed Jawhar sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

Majlis diikuti dengan acara memotong kek ulang tahun HM.

Tetamu turut dihiburkan persembahan artis jemputan iaitu Datuk Nash, Aishah Aziz dan Farawahida yang diselang-selikan dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan HM, tayangan video khas dan penyampaian cenderahati kepada bekas pengurusan kanan HM.

Majlis itu mendapat tajaan Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat), Courts Mammoth, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan SACC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:21 AM