Kuala Lumpur: Satu majlis berbuka puasa diadakan di Balai Berita, Bangsar sebagai tanda kesyukuran sempena ulang tahun akhbar New Straits Times (NST) ke-170, semalam.

Seramai 150 kakitangan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) termasuk pengurusan kanan NST, Berita Harian dan Harian Metro menghadiri majlis berkenaan.

Pengarang Kumpulan NST Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua kakitangan akhbar itu yang banyak membantu menghidupkan media cetak berkenaan sejak ditubuhkan pada 1845.

Turut hadir Pengerusi NSTP Tan Sri Mohamed Jawhar, Ketua Pegawai Operasi Perkongsian Perkhidmatan (COO) Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Kamal Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid, Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Ahmad @ Salim Bachok dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Badrulhisham Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:12 AM