(Dari kiri) Husain, Saidon dan Ahmad Lokman. FOTO NSTP
(Dari kiri) Husain, Saidon dan Ahmad Lokman. FOTO NSTP
Redzuan Muharam


KUMPULAN The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) mengumumkan barisan pengurusan pengarang baharu bagi ketiga-tiga akhbarnya, Harian Metro (HM), Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST), hari ini.

Ia sejajar dengan pelan rasionalisasi tenaga kerja yang diumumkan Kumpulan Media Prima sebagai pemenang kepentingan ekuiti terbesar NSTP, pada 1 November lalu.

Husain Jahit dilantik sebagai Pengarang Kumpulan HM, manakala Saidon Idris dilantik Pengarang Kumpulan BH dan Ahmad Lokman Mansor Pengarang Kumpulan NST.

Mengenai pelantikan Pengarang Kumpulan HM, Husain yang sebelum ini Pengarang Eksekutif Komersial HM dilantik memegang jawatan itu menggantikan Tuan Mohd Asri Tuan Hussein.

Husain yang memiliki Diploma Sains Komputer (Pengaturcaraan) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), memulakan kerjaya di NSTP sejak Januari 1990 sebagai Pembantu Pemasaran di Beriteks, perkhidmatan teleteks yang diperkenalkan TV3 pada 1985.

Pada 1996, Husain mengasah kemahirannya sebagai wartawan BH dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan dalam talian selama 10 tahun, sebelum menyertai Harian Metro di unit IT serta dalam talian pada 2007.

Husain kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Pengarang Harian Metro untuk Bisnes dan IT sebelum dilantik sebagai Pengarang Bersekutu - Rencana HM.

Pada Februari lalu, beliau dilantik sebagai Pengarang Eksekutif Komersial bagi akhbar HM.

Antara pencapaian Husain dalam bidang kewartawanan, termasuk menerima Anugerah Emas bagi Anugerah Kewartawanan Greentech Terbaik yang dinaungi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 2012, serta Tempat Pertama untuk Laporan Berita IT dalam Bahasa Malaysia oleh Sony Malaysia 2011.

Bagi BH pula, Saidon yang sebelum ini memegang jawatan Pengarang Eksekutif Kanan BH, berpengalaman 23 tahun bersama BH dan memainkan peranan penting dalam operasi pengumpulan berita akhbar itu, khususnya dalam bidang Ekonomi dan Hal Ehwal Semasa.

Beliau yang juga graduan ekonomi Universiti Malaya menyertai BH bermula 1997, sebagai seorang penulis kanan Dataniaga, sebuah majalah perniagaan yang pernah diterbitkan NSTP ketika itu.

Tahun berikutnya, Saidon dipindahkan ke Meja Berita BH dan pada 2003, dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Ekonomi BH, sebelum mengambil alih jawatan Pengarang Ekonomi pada 2004.

Pada Januari 2014, beliau dilantik sebagai Pengarang Bersekutu BH, Hal Ehwal Semasa, yang bertanggungjawab menyelia Meja Rencana, Ekonomi dan Luar Negeri, sambil menulis artikel pendapat pengarang (op-eds) bagi akhbar ini.

Saidon kemudian dinaikkan pangkat sebagai Penulis Khas Kanan, Ekonomi & Hal Ehwal Semasa BH pada 2015 dan pada Januari 2018, dilantik sebagai Pengarang Eksekutif Kanan, Convergence, NSTP dan setahun kemudian sebagai Pengarang Eksekutif Kanan BH.

Di NST, Ahmad Lokman yang kini menerajui akhbar itu sebelum ini Pengarang Eksekutif Bisnes, Op-Ed & Digital NST.

Beliau pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni dalam Komunikasi Massa dan Pengajian Media dari Universiti Toledo, Ohio di Amerika Syarikat dan memulakan tugasnya di NSTP mulai April 1993 sebagai wartawan bagi Business Times sehingga diangkat menjadi Timbalan Pengarang.

Pada Jun 2009, Lokman dinaikkan pangkatnya sebagai Pengarang Media Baru untuk NST dan pada November 2012, beliau dilantik sebagai Pengarang Bersekutu bagi Op-Ed, yang bertanggungjawab merancang serta menyelia halaman pengarang dan ulasan akhbar itu.

Lokman juga pernah memegang beberapa jawatan utama dalam NST, termasuk sebagai Pengarang Bersekutu Hal Ehwal Semasa & Digital (2015-2016), Pengarang Bersekutu Bisnes, Op-Ed & CBT (2016-2018) dan Pengarang Convergence Bisnes (2018-2019) dan dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Eksekutif Bisnes, Op-Ed & Digital NST pada awal 2019.

Mengulas pelantikan ketiga-tiganya, Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial Media Prima merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, pelantikan itu membuktikan keberkesanan pelan peralihan dalaman NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:07 PM