ANTARA aktiviti yang dijalankan ketika Kem Kembara Kasih.
ANTARA aktiviti yang dijalankan ketika Kem Kembara Kasih.
PESERTA bergambar bersama selepas menerima sijil perhargaan mengikuti program Kem Kembara Kasih anjuran PERKIM DI Institut Tahfiz Al Quran Lil Muttaqin, Semenyih.
PESERTA bergambar bersama selepas menerima sijil perhargaan mengikuti program Kem Kembara Kasih anjuran PERKIM DI Institut Tahfiz Al Quran Lil Muttaqin, Semenyih.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Semenyih: “Saya rasa lebih berkeyakinan selepas mengikuti kursus selama tiga hari di sini. Pendekatan yang digunakan berkesan dalam mengubah diri menjadi seorang berfikiran positif,” kata Muhammad Zaki Jali, 15.

Dia adalah seorang daripada 42 penghuni Asrama Darul Falah (ASDAF) yang menyertai Kem Kembara Kasih anjuran pusat berkenaan bersama Persatuan Belia Masjid Wilayah Persekutuan (PBMWP) di Institusi Tahfiz Al-Quran Lil Muttaqin, di sini, semalam.

Ditubuhkan pada 1995, ASDAF adalah sebuah asrama yang menempatkan anak Orang Asli peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Mereka terdiri daripada anak yatim, anak saudara baru dan fakir miskin yang diambil dari kampung di kawasan pedalaman Semenanjung untuk diberi pendidikan akademik serta agama lebih sempurna.

Muhammad Zaki berkata, dia begitu teruja apabila dimaklumkan terbabit program berkenaan kerana menggemari aktiviti luar bilik darjah yang dapat membentuk jati diri.

“Saya juga lebih bermotivasi untuk belajar bersungguh-sungguh memandangkan tahun ini akan menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Saya perlu memperoleh keputusan cemerlang supaya cita-cita untuk menjadi juruterbang tercapai,” katanya.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, ini kerana dia mempunyai iltizam untuk merubah kehidupan keluarganya pada tahap lebih baik dan memberi kesenangan kepada ibu bapanya.

“Sebab itu juga saya rela berjauhan daripada ibu bapa untuk tinggal di asrama ini demi mengejar cita-cita.

“Sejak menetap di asrama ini saya juga semakin lancar membaca al-Quran,” katanya yang berhasrat untuk khatam al-Quran dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pengetua ASDAF Zulyadain Mohd Radzi berkata, program julung kali diadakan bagi memberi pendedahan lebih banyak kepada penghuni asrama kepada persekitaran luar.

“ASDAF ditubuhkan di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan semua penghuni di asrama ini adalah mereka yang bersekolah di beberapa sekolah anak angkat PERKIM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:11 AM