Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Tempoh masa latihan yang singkat, ahli kumpulan demam dan muntah selain tapak kasut tercabut antara dugaan ditempuh Kumpulan An-Naim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Pekan, Kelantan sebelum dinobatkan juara Pertandingan Kalam Jamaei Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2016.

Guru pembimbingnya Adilah Mohd Arifin berkata, cabaran yang dihadapi dalam tempoh seminggu itu juga amat berbaloi apabila penyertaan kali ketiga terbabit membolehkan sekolah berkenaan muncul sebagai johan pertandingan.

“Memang kami rasa sangat tercabar dengan keadaan kesihatan murid yang demam dan muntah beberapa hari sebelum pertandingan sekali gus mengganggu konsentrasi rakan lain.

“Alhamdulillah, berkat usaha ahli kumpulan dengan bantuan guru, kumpulan kami berjaya membuat persembahan dan menewaskan pasukan lain yang turut membuat persembahan mantap,” katanya.

Adilah ditemui selepas majlis perasmian penutup dan penyampaian Majlis Khatam al-Quran Perdana dan Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan Kali Kelapan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, dekat sini, semalam.

Hadiah disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Wan Ramdzan Wan Mamat.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan An-Najah dari SK Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah manakala tempat ketiga diraih Kumpulan Khairatul Hisan dari SK Tanjung Piandang, Kerian, Perak.

Pemenang membawa pulang piala pusingan, medal dan sijil penyertaan.

Pertandingan bertujuan mengembangkan potensi murid bertutur bahasa Arab disertai 16 kontinjen membabit 400 murid dan 64 guru.

Adilah berkata, pemilihan tajuk berdasarkan tema cita-cita dan kerjaya iaitu ‘Saya Pada Masa Hadapan’ berjaya diolah dengan penuh gaya di samping kreativiti persembahan yang mantap.

“Irama dan lagu adalah ciptaan kami sendiri yang dikemas kini menggunakan ayat al-Quran selain diperkuatkan pula dengan isu semasa.

“Kerjasama ahli kumpulan yang mampu bersuara lantang dan berirama, pergerakan badan dan ekspresi wajah juga antara faktor kemenangan kumpulan kami,” katanya.

Sementara itu, Wan Ramdzan berkata, Majlis Khatam al-Quran Perdana dan pertandingan Kalam Jamaie itu adalah aktiviti pengukuhan program j-QAF dilaksanakan sejak 2005.

“Pertandingan ini bertujuan memupuk semangat cintakan al-Quran dalam kalangan murid menerusi aktiviti pembacaan al-Quran (talaqqi), latih tubi (tikrar) dan pembacaan secara individu (tasmik),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 9:37 AM
PESERTA ceria ketika majlis khatam Al-Quran Perdana dan Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah-  Sekolah Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan kali ke-8 di UMP Gambang.
PESERTA ceria ketika majlis khatam Al-Quran Perdana dan Pertandingan Kalam Jamaie Sekolah- Sekolah Kementerian Pendidikan peringkat kebangsaan kali ke-8 di UMP Gambang.
GELAGAT peserta  pada majlis khatam Al-Quran Perdana.
GELAGAT peserta pada majlis khatam Al-Quran Perdana.