Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Sejumlah 74 sekolah di seluruh Terengganu terjejas akibat banjir, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Abdul Muie Ngah.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 61 adalah sekolah rendah dan 13 sekolah menengah, dengan Hulu Terengganu paling banyak terjejas dengan 17 sekolah diikuti diikuti Dungun (11), Setiu (10), Besut (9), Kuala Nerus (8), Kuala Terengganu (8), Kemaman (7) dan Marang (4).

Katanya, semua sekolah berkenaan sudah pulih daripada banjir dan kini dalam proses pembersihan.

"Banjir mengakibatkan beberapa kerosakan berlaku di sekolah terbabit, antaranya komputer, komputer riba, buku teks, kerusi dan meja.

"Kerja-kerja pembersihan juga sudah dilakukan terhadap semua sekolah yang terkesan, dengan bantuan sukarelawan pelbagai agensi.

"JPNT berterima kasih atas bantuan sukarelawan pembersihan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), JPNT, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekitar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Muie berkata, buat sementara waktu, pihaknya akan mengambil lebihan kerusi dan meja daripada sekolah lain untuk menggantikan perabot sekolah yang rosak.

Sementara buku teks yang rosak, katanya, KPM akan melakukan penggantian segera,

"Bagi komputer dan komputer riba yang rosak, ia akan diganti oleh pihak syarikat yang memberi sewaan kepada sekolah berkenaan," katanya yang memberitahu JPNT menerima bantuan pelbagai bentuk daripada KPM, kerajaan negeri, NGO dan agensi swasta dan kerajaan.

Sementara itu, katanya, 143 sekolah telah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan setakat 10 pagi, 135 daripadanya sudah ditutup.

KEADAAN Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau, Dungun yang ditenggelami banjir minggu lalu.  FOTO Ghazali Kori.
KEADAAN Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau, Dungun yang ditenggelami banjir minggu lalu. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 6:16 PM