Antara murid SK Daingin yang hadir menerima sumbangan buku teks dari DBP Sabah. FOTO RAFIQAH DAHALI
Antara murid SK Daingin yang hadir menerima sumbangan buku teks dari DBP Sabah. FOTO RAFIQAH DAHALI
Rafiqah Dahali


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah menyumbang buku teks kepada 133 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Daingin, Papar yang terjejas teruk akibat banjir bulan lalu.

Pengarahnya, Aminah Awang Basar berkata, akibat bencana alam itu, sebahagian besar buku teks murid terbabit rosak apabila kediaman mereka ditenggelami air.

Katanya, sehubungan itu DBP Sabah mengambil tanggungjawab sosial memberikan bantuan buku teks kepada murid terbabit kerana DBP antara pengeluar buku teks utama di Malaysia.

"Namun jumlah buku teks yang disumbangkan berdasarkan stok yang ada dan mengikut kesesuaian," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan buku teks di SK Daingin, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah DBP, Nordin Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Aminah turut berkata pihaknya mendahulukan pemberian sumbangan buku teks terlebih dahulu dan sumbangan buku lain untuk kegunaan pusat sumber SK Daingin akan diberikan kemudian.

Sementara itu, guru besar SK Daingin, Asmah Salleh berkata pihaknya amat menghargai sumbangan buku teks dari DBP Sabah.

"Pihak kami amat menghargai buku teks yang diberikan malah pengarah DBP sendiri datang ke sekolah kami bagi menyampaikan sendiri sumbangan.

"Semua murid yang terjejas adalah mangsa banjir yang bukan sahaja menyebabkan rumah ditenggelami air, buku teks juga banyak yang hanyut, rosak dan tidak dapat digunakan lagi," katanya.

Sebanyak 25 sekolah di Sabah terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di negeri ini bulan lalu.

Sekolah terbabit terletak di tujuh daerah membabitkan Penampang, Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Kota Belud, Tuaran dan Beaufort.

SK Daingin antara sekolah paling teruk terjejas selain SK Kambizaan, SK Gana, SK Pekan Kinarut, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kin Kiau Kinarut, SJKC Cheng Ming dan SK Kelatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 1:43 PM