TENGKU Adnan
TENGKU Adnan

Kuala Lumpur: Rumah transit gelandangan pertama di Malaysia dijangka dirasmikan 26 atau 27 Februari depan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, rumah transit di Jalan Pahang itu menempatkan golongan gelandangan selain turut dilengkapi perkhidmatan kesihatan. “Kami sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengendalikan golongan gelandangan ini. Bagaimanapun, kami memerlukan badan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini banyak melaksanakan program mengagihkan makanan untuk tampil membantu. “Rumah itu menjadi tempat sementara untuk mereka tidur, rehat, makan dan sembahyang, selain menyediakan perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam sidang media ketika merasmikan Ibu Pejabat Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan Yayasan Kemajuan Islam Nasional (YAKIN), di sini, semalam. Tengku Adnan berkata, rumah transit itu sudah siap sepenuhnya dan dianggarkan dapat menampung 260 gelandangan dalam satu masa. “Projek pembinaan rumah transit ini menelan belanja lebih RM3 juta dan mendapat kerjasama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu dilengkapi pelbagai kemudahan demi keselesaan,” katanya. Katanya, rumah seumpama itu diwujudkan di Medan Tuanku, di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun ia tidak memberi kemudahan kepada gelandangan untuk tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 10:02 AM