Kuala Lumpur: Sebanyak empat kontena yang menyediakan ruang pengagihan makanan serta kemudahan mandi bagi golongan gelandangan bakal ditempatkan di kawasan parkir berhampiran Medan Tuanku, di sini.

Kemudahan itu dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib (gambar) berkata, kontena yang diubah suai atau lebih dikenali sebagai kabin berstruktur itu bakal digunakan sebagai pusat urusan gelandangan sementara sebelum bangunan gelandangan yang dijanjikan siap sepenuhnya.

“Kontena itu akan menempatkan ruang penyimpanan makanan serta kemudahan mandi bagi lelaki dan perempuan.

“Malah, kawasan dipilih lebih terbuka dan tidak tertutup, sekali gus memudahkan golongan ini mendapatkan khidmat keperluan asas dengan persekitaran kondusif sementara menunggu penempatan lain dibangunkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Disoal berhubung perancangan membina bangunan gelandangan yang dikatakan siap pada tahun lalu, beliau berkata, pihaknya sudah meluluskan pelan pembangunan dalam kadar tempoh segera dan kini menunggu pelaksanaan dari pihak Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

“Projek bangunan itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MRCB dan kami sudah pun meluluskan pelan terbabit, bagaimanapun proses pembinaan bergantung kepada MRCB,” katanya.

Menurutnya, DBKL juga sedang dalam proses membuat pengambilan balik berhubung cadangan membina bangunan yang sama di sebuah hotel lama di Chow Kit, di sini.

“Pembelian bangunan itu berdepan dengan sedikit masalah pembelian, namun kami akan berusaha mendapatkannya secara mandatori,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Phesal turut menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan supaya lebih teliti dalam memberi bantuan kepada golongan gelandangan kerana kadar pertambahan dalam kalangan golongan muda semakin bertambah saban hari.

“Bukan bermaksud kami ini tidak berperikemanusian, namun saya berharap bantuan diberi tidak menggalakkan golongan tertentu mengambil kesempatan dengan mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 9:18 AM