Gambar hiasan. FOTO NSTP
Gambar hiasan. FOTO NSTP
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Hujan berterusan menyebabkan Besut, Setiu dan Dungun selain Kemaman dilanda banjir dengan keseluruhan lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat 8 pagi hari ini.

Semua pusat itu menempatkan 275 mangsa daripada 81 keluarga, berbanding 171 orang daripada 45 keluarga yang semuanya di Kemaman.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, selain Kemaman, daerah baharu yang terjejas adalah Besut, Setiu dan Dungun.

Katanya, Kemaman menambah satu lagi PPS menjadikan keseluruhan empat buah untuk menempatkan 203 mangsa daripada 56 keluarga, iaitu Masjid Sungai Mas dengan sembilan mangsa, Balai Raya MPKK Padang Kubu (142), Dewan Orang Ramai Kampung Teladas (46) dan Balai Raya Kampung Paya Berenjut (6).

Menurutnya, Dungun membuka satu PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Minda untuk menempatkan 23 mangsa daripada empat keluarga, manakala Besut mempunyai 18 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Futsal Keruak.

"Dua PPS di Setiu diaktifkan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan Balai Raya Kampung Seladang, keseluruhannya membabitkan 31 mangsa daripada 15 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, maklumat dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras air sungai utama negeri menunjukkan peningkatan dengan Sungai Kemaman di Kampung Air Putih dan Sungai Tebak di Kampung Tebak melepasi paras bahaya, masing-masing 19.59 meter (m) dan 14.07 m.

Penduduk terutama di kawasan rendah diingatkan supaya berpindah awal jika kawasan mula dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 9:53 AM