MASJID Kampung Air Putih ditenggelami air sedalam lebih satu meter.FOTO Ihsan penduduk
MASJID Kampung Air Putih ditenggelami air sedalam lebih satu meter.FOTO Ihsan penduduk
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Banjir di Kemaman semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan seramai 659 orang daripada 156 keluarga, sehingga 6 petang hari ini.

Semua mangsa itu dari dua kampung iaitu Air Putih dan Teladas dan ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Sivik Kampung Air Putih, Balairaya Kampung Teladas Dan Masjid Kampung Dadong.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, seramai 333 mangsa daripada 79 keluarga ditempatkan di Dewan Sivik Kampung Air Putih, Balairaya Kampung Teladas (323 orang dari 76 keluarga) dan Masjid Kampung Dadong seramai tiga orang daripada satu keluarga.

"PPS SK Kemasik yang sebelum ini dibuka pada 10 malam Selasa lalu bagi menempatkan lima keluarga ditutup pada 10 pagi semalam.

"Pertambahan mendadak mangsa di Kemaman berpunca daripada hujan lebat pada awal pagi hari ini.

"Keadaan itu menyebabkan paras air sungai melebihi paras bahaya dan aliran sungai akan turun ke hilir sebelum terus ke muara Sungai Kemaman," katanya.

Beliau berkata, kebarangkalian untuk kawasan berisiko banjir di sepanjang Sungai Kemaman akan terkesan dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.

Menurutnya, keseluruhan mangsa banjir dipindahkan di lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun dan Kemaman adalah 1,046 orang daripada 290 keluarga dan ditempatkan di 10 PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 8:12 PM