Muhammad Nashrul Iman Moktar, 11, bermain air berikutan banjir yang melanda rumahnya  di Belimbing Dalam, Melaka.
Muhammad Nashrul Iman Moktar, 11, bermain air berikutan banjir yang melanda rumahnya di Belimbing Dalam, Melaka.
Oleh Nor Shafinaz Sari


Alor Gajah: Hasrat seorang lelaki menghantar Proton Perdana miliknya ke sebuah bengkel untuk diselenggara terbantut selepas kereta itu digenangi banjir dalam kejadian di Jalan Dodol Kampung Pulau, Durian Tunggal, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.15 petang, pemilik Proton Perdana itu Azizi Md Saharom, 36, berkata dia dari tempat kerja menggunakan waktu rehat tengah hari untuk pulang ke rumah bagi membawa kereta itu ke bengkel.

Namun, sejurus sampai dia terkedu apabila mendapati air menenggelamkan kereta terbabit yang ketika itu di parkir di hadapan rumahnya.

“Saya memang jarang pulang ke rumah pada waktu rehat tengah hari, namun kelmarin hati tergerak untuk menghantar Proton Perdana itu ke bengkel kerana sudah sampai masa kenderaan itu diselenggara.

“Mungkin kerana nasib saya baik ketika sampai di rumah, air baru berada pada paras lantai kereta, saya menghubungi trak tunda untuk menghantar kereta ke bengkel,” katanya ketika ditemui.

Azizi berkata, dia dan isteri Salmiah Hashim, 56, hanya mampu menyelamatkan barangan yang penting saja berikutan paras air naik dengan mendadak membataskan usaha mereka.

“Dalam masa dua jam air naik sehingga ke paras pinggang walaupun pada ketika itu tidak hujan.

“Selain itu kediaman kami berhampiran kawasan tadahan yang tidak lagi mampu menampung jumlah air yang banyak dan melimpah ke kawasan penempatan di sekitarnya,” katanya

Sementara itu Salmiah berkata, banjir kali ini paling teruk dialaminya sejak tinggal di kediaman berkenaan tiga tahun lalu, malah mengalami kerugian besar apabila gagal menyelamatkan perabot dan barangan elektrik.

Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk Murad Husin berkata, tiga pusat pemindahan di daerah berkenaan ditutup termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan serta Dewan Ar-Rasyidin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia manakala Balai Raya Gadek di DUN Gadek.

Beliau berkata, bagaimanapun empat pusat pemindahan masih dibuka di DUN Durian Tunggal seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Balai Raya Bukit Balai, Balai Raya Panchor dan Balai Raya Beringin.

“MPAG memberikan keutamaan terhadap aspek kebersihan kawasan khemah, tempat makan dan juga tandas yang disediakan di pusat pemindahan bagi memastikan bagi memastikan keselesaan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:35 AM