ANGGOTA polis Perancis memeriksa identiti pemandu kenderaan dalam satu sekatan jalan raya di Paris, semalam
ANGGOTA polis Perancis memeriksa identiti pemandu kenderaan dalam satu sekatan jalan raya di Paris, semalam

Brussels: Belgium semalam membatalkan perlawanan bola sepak persahabatan menentang Sepanyol selepas kerajaan negara itu meningkatkan amaran keselamatan mengenai siasatan serangan pengganas di Paris.

Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Belgium berkata, keputusan itu diambil selepas melakukan perbincangan dengan badan berkaitan dan pasukan kebangsaan Sepanyol.

“Pada lewat malam Isnin (kelmarin), URBSFA Persatuan Bolasepak Diraja Belgium dihubungi pihak kerajaan yang mengesyorkan bahawa perlawanan tidak boleh diadakan. Ia adalah dalam konteks amaran pengganas baru dan usaha mengesan suspek.

“Kami turut kesal dengan perkara itu dan memahami kekecewaan penyokong kedua-dua negara. Pemegang tiket akan mendapat lebih banyak maklumat mengenai perkembangan susulan pada minggu ini,” katanya dipetik melalui AP.

Dalam pada itu, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengesahkan Perancis kekal sebagai tuan rumah kejohanan EURO 2016 seperti dijadualkan sebelum ini.

Penentuan perlawanan EURO akan ditentukan seperti dijadualkan pada 12 Disember ini di Palais des Congres, Paris, manakala kejohanan akan berlangsung sepan Perancis bermula 10 Jun hingga 10 Julai tahun depan.

UEFA menyatakan bahawa tiada rancangan untuk mengubah lokasi kejohanan itu dan menegaskan komitmen dalam memastikan keselamatan, pengawasan serta perancangan organisasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:55 AM