Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Operasi bersepadu membabitkan pelbagai pihak sepanjang tahun lalu menghasilkan kejayaan besar apabila 100 kes mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dapat disabitkan berbanding hanya tujuh pada 2015.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan ketara itu hasil kerjasama pasukan penguatkuasaan, timbalan pendakwa raya, pegawai pelindung dan ahli Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

Katanya, 100 sabitan kes itu membabitkan keseluruhan 33 individu.

Menurutnya, mengikut pecahan, 79 kes disabitkan dengan kes pemerdagangan orang, sembilan kes penyeludupan migran dan 12 kes mengikut Akta Imigresen, Kanun Keseksaan serta akta lain.

“Ia membabitkan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun serta penalti tertentu mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, seramai 18 individu serta majikan juga turut disabitkan kesalahan pemegangan pasport pekerja secara tidak sah mengikut Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Jumlah kertas siasatan yang dirujuk juga bertambah daripada 158 kertas siasatan pada 2015 kepada 326 tahun lalu menyaksikan peningkatan ketara lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

"Dalam aspek penguatkuasaan, sebanyak 403 kes sudah disiasat dan seramai 679 individu turut ditahan sepanjang tahun lalu dan antara kesalahan yang dikenal pasti adalah eksploitasi seks, perkhidmatan paksa, pemindahan organ serta aktiviti menyalahi undang-undang termasuk kesalahan mengikut Akta Imigresen dan penjualan bayi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, seramai 42 penjawat awam dari kalangan agensi penguatkuasa turut ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan berkaitan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Ahmad Zahid berkata, peningkatan ketara kertas siasatan dan pertuduhan mencerminkan komitmen padu dan kerjasama erat penguatkuasa MAPO yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan mahkamah serta Jabatan Peguam Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 3:59 PM