DARI kiri Mohamad Fuzi,  Mohamed Apandi,  Ahmad , Alwi,   Raus dan Zulkefli  merasmikan Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang  pada Majlis Perasmian Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang, semalam.
DARI kiri Mohamad Fuzi, Mohamed Apandi, Ahmad , Alwi, Raus dan Zulkefli merasmikan Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang pada Majlis Perasmian Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang, semalam.
Iskandar Shah Mohamed

Klang: Komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan mangsa pemerdagangan orang terpelihara, direalisasikan melalui penubuhan Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP) pertama negara di Klang, semalam.

Penubuhan mahkamah khas itu bagi mempercepatkan giliran kes perbicaraan dengan tempoh penyelesaiannya disasarkan dalam tempoh sembilan bulan.

Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif berkata, Malaysia sudah lama berusaha membanteras jenayah pemerdagangan orang yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana mencabuli hak asasi manusia tanpa mengira jantina, bangsa dan kerakyatan.

“Jenayah itu semakin meningkat sama di peringkat antarabangsa mahu pun serantau dan negara ini sememangnya sentiasa berpegang kepada prinsip membasminya walaupun sebelum wujud Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Namun, berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (US TIP Report) 2017, Malaysia berada pada kedudukan Tahap Dua kerana melaksanakan usaha berterusan dalam faktor siasatan, pendakwaan dan sabitan kes.

“Justeru, usaha bersejarah mewujudkan mahkamah pertama ATIP yang juga cetusan idea Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini membuktikan petanda kuat bahawa kita serius membanteras jenayah itu,” katanya ketika berucap merasmikan mahkamah itu semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri merangkap Pengerusi Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO) Datuk Seri Alwi Ibrahim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Negara Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Mahkamah Sesyen ATIP di Kompleks Mahkamah Klang, menjadi perintis dan mula beroperasi sejak 1 Mac lalu itu dikendalikan oleh bekas Pengarah Mahkamah Pahang Datuk Unaizah Mohd.

Kata Raus, penubuhan mahkamah itu berikutan Selangor mencatatkan jumlah kes jenayah pemerdagangan orang paling tinggi di negara ini.

“Menjelang hujung tahun ini, lima lagi Mahkamah Sesyen ATIP akan ditubuhkan secara berperingkat iaitu di Perak, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Sabah.

“Ia akan dikendalikan oleh hakim khas berpengalaman luas yang turut diberikan kursus ditetapkan berkaitan jenayah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pengkhususan mahkamah khas itu, setiap kes bukan saja akan dilupuskan dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh ia didaftarkan, malah memberi tambah nilai kepada perkembangan undang-undang dan kemajuan pelaksanaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:41 AM