MUSTAFFA Bakri menggunakan kamera memerangkap had laju di LPT2, semalam.
MUSTAFFA Bakri menggunakan kamera memerangkap had laju di LPT2, semalam.
Oleh Rosli Ilham

Chukai: Kemalangan yang meragut nyawa 85 individu di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) tidak mendatangkan gerun kepada pengguna lebuh raya berkenaan apabila mereka terus memecut melebihi had laju di situ.

Pegawai Penguat Kuasa dan Operasi Trafik Bukit Aman Deputi Superintendan Mustaffa Bakri Salleh berkata, ia terbukti apabila dalam tempoh dua jam operasi had laju dijalankan di situ, 102 pemandu didapati melakukan kesalahan terbabit.

“Semua pemandu terbabit disaman kerana memandu melebihi had laju dibenarkan, malah ada yang memandu melebihi 165 kilometer (km) sejam.

“Kami bimbang kerana ramai memandu laju walaupun pemandu sedar jumlah kemalangan maut yang berlaku di lebuh raya ini,” katanya ketika ditemui pada operasi dijalankan di Kilometer 255.2, dekat Perasing, di sini, semalam.

Operasi bermula jam 9 pagi membabitkan 22 anggota dan pegawai trafik Bukit Aman.

Menurut Mustaffa Bakri, selain saman atas kesalahan memandu laju, pihaknya turut mengeluarkan 22 saman berkaitan nombor pendaftaran kenderaan, lesen dan cukai jalan tamat tempoh serta lampu brek ketiga tidak berfungsi.

Beliau berkata, operasi terutama berkaitan had laju akan dijalankan dari semasa ke semasa di lebuh raya berkenaan bagi memastikan pengurangan kes kemalangan maut.

“Saya nasihatkan pemandu tidak memandu laju serta berwaspada ketika memandu terutamanya apabila hujan selain berehat di hentian Rehat dan Rawat (R&R) sekiranya mengantuk,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mustaffa Bakri berkata, pihaknya memandang serius tindakan pemandu lori dan kenderaan lain berhenti di lorong kecemasan.

“Saya berbincang dengan trafik Pahang dan Terengganu, tindakan yang akan dilakukan ialah mengeluarkan saman terhadap pemandu sebegini.

“Kami juga memandang serius lampu belakang lori atau treler yang tidak berfungsi. Kami akan ambil tindakan terhadap pemandu terbabit kerana lampu belakang tidak berfungsi boleh membahayakan nyawa pengguna lain terutama yang memandu pada waktu malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 8:00 AM