Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kota Bharu: Khidmat anggota Senoi Praaq Pasukan Gerakan Am (PGA) digunakan sebagai perantara dengan masyarakat Orang Asli suku Temiar bagi mengesan tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang yang hilang, lebih sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, 43 anggota itu menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) sejak minggu lalu.

“Operasi ini menerima tambahan satu platun Senoi Praaq dan mereka diketuai seorang pegawai.

“Kami gunakan khidmat mereka untuk menjadi orang perantara bagi mengumpul maklumat kerana ada sebahagian anggota berasal daripada suku Temiar juga.

“Seramai 15 orang daripadanya masuk ke hutan tadi (semalam) dan selebihnya ke sektor pencarian lain termasuk kampung,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada 23 Ogos, tujuh murid berusia antara tujuh hingga 11 tahun hilang selepas melarikan diri dari asrama sekolah dipercayai untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Penad dan Gawin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika kunjungannya minggu lalu memberitahu operasi SAR tetap diteruskan sehingga mangsa ditemui meskipun operasi melebihi 40 hari.

Saiful Bahri berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di bandar dan kawasan berdekatan namun tidak mahu mendedahkannya kerana enggan mengganggu siasatan.

“Dari awal kami memang menjalankan risikan sebagai sebahagian usaha mencari, tapi tidak mahu mendedahkannya terlalu banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 6:08 AM