Gua Musang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, di sini, tetap diteruskan walaupun kapasiti pencarian dikecilkan.

Komander operasi yang juga Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, pihaknya berbincang untuk mengecilkan saiz SAR selepas pencarian memasuki tempoh sebulan.

Katanya, pos kawalan operasi yang sebelum ini bertapak di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, di sini, turut dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, memandangkan operasi berdepan kekangan telekomunikasi dan masalah elektrik.

“Operasi berjalan, tapi kami kurangkan kekuatan petugas. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berganti dengan batalion lain dan Jabatan Bomba dan Penyelamat juga dikurangkan.

“Sekolah juga ditutup kerana bercuti jadi tidak sesuai lagi pusat kawalan berada di sini kerana menyukarkan proses, lebih-lebih lagi petugas tidak mempunyai tempat cukup untuk berteduh apabila hujan lebat,” katanya di sini, semalam.

Saiful Bahri berkata, pihaknya membuka bilik kawalan baru di IPD dijangka esok dan semua petugas SAR akan bermula di situ.

Sementara itu, ibu bapa tujuh murid Orang Asli SK Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lalu, tidak sanggup memikirkan kemungkinan anak mereka diculik dan dibunuh untuk tujuan tertentu.

Sobrie Latip, 25, yang kehilangan anak perempuannya, Sasa, 8, berkata, dia buntu memikirkan mengenai kehilangan itu ditambah pelbagai kemungkinan yang mungkin wujud.

“Kami bukan mahu susahkan sesiapa, tapi sudah sebulan dia hilang. Saya bimbang jika ada culik dan bunuhnya. Tak sanggup fikir kemungkinan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:09 AM