Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mempelbagaikan produk hiliran dan kegunaan seharian berasaskan getah untuk menstabilkan harga komoditi berkenaan di pasaran tempatan dalam jangka masa panjang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, banyak produk berasaskan getah boleh dihasilkan menerusi industri hiliran seperti pembuatan tiub motosikal, alat ganti kenderaan, sarung tangan dan barangan perhiasan yang diyakini mempunyai permintaan tinggi.

Katanya, sudah sampai masanya RISDA mencari pendekatan baru terutama menceburi industri hiliran dan pembuatan produk keperluan harian berasaskan getah untuk memastikan pekebun kecil mendapat pembelaan.

“Langkah itu perlu bagi menjaga kepentingan 532,000 pekebun kecil di negara ini terutama apabila berlaku penurunan harga getah di pasaran sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan mereka terhadap ekonomi negara,” katanya selepas merasmikan pejabat RISDA cawangan Bera, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:14 AM