ISMAIL Sabri (dua dari kanan) melihat ciptaan Ring Guard yang menghalang air hujan memasuki kawasan torehan dan mangkuk.
ISMAIL Sabri (dua dari kanan) melihat ciptaan Ring Guard yang menghalang air hujan memasuki kawasan torehan dan mangkuk.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Inovasi yang dihasilkan tidak seharusnya bertujuan hanya untuk menjuarai pertandingan atau mempamerkan produk serta perkhidmatan, sebaliknya ia perlu memberi manfaat jangka panjang kepada pekebun kecil khususnya penoreh getah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil inovasi perlu sentiasa dimajukan serta dipatenkan agar idea berkenaan tidak ditiru atau diciplak pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya tertarik dengan beberapa inovasi yang diketengahkan dalam pertandingan ini, malah nampak ciptaan yang dihasilkan mampu mengubah nasib penoreh getah pada masa akan datang.

“Saya lihat ciptaan dikenali sebagai Ring Guard mampu membantu penoreh getah menoreh pada musim tengkujuh kerana peralatan itu boleh menutup kawasan torehan dan mangkuk susu getah daripada dimasuki air hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Hari Inovasi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2017 yang menyaksikan 29 kumpulan inovasi terdiri daripada 15 kategori teknikal dan 14 kategori pengurusan bertanding, semalam.

“Namun ingin saya ingatkan, setiap pereka inovasi perlu memastikan harga jualan bagi peralatan berkenaan hendaklah berpatutan atau murah.

“Ini kerana peralatan itu akan dibeli penoreh getah yang kita tahu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin,” katanya.

Pada majlis itu, buat julung kalinya RISDA menyampaikan anugerah khas kepada kumpulan inovasi Qlulut Honey Chamber yang mencipta sarang kelulut untuk mengatasi masalah suhu yang menjadi punca kepupusan koloni lebah sehingga puluhan penternak kerugian.

Difahamkan, ia adalah inovasi sistem pengudaraan dalam sarang bagi menyerupai suhu habitat asal kelulut dan secara tidak langsung membantu usahawan industri meningkatkan penghasilan madu secara produktif dan berkualiti tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:05 AM