PEKEBUN kecil mendapatkan ukur lilit pokok getah. FOTO HASSAN OMAR
PEKEBUN kecil mendapatkan ukur lilit pokok getah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


SERAMAI 9,723 pekebun kecil getah di Melaka digesa berpindah kepada penghasilan susu getah atau lateks kerana ia mampu melonjakkan pendapatan sebanyak 30 peratus.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersedia membawa Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) membeli lateks daripada pekebun kecil, asalkan mereka bersedia melakukan anjakan dalam pengeluaran hasil komoditi itu.

Pengarahnya, Amirul Rasyidin Hasan Basri berkata, pekebun kecil tidak boleh lagi bergantung kepada pengeluaran getah beku sebagai produk utama kerana bahan berkenaan tidak mampu memperoleh permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Pengeluar sarung tangan getah, kondom dan seumpamanya memerlukan lateks tetapi negara kita tidak mampu mengeluarkannya untuk memenuhi permintaan hingga menyebabkan mereka mengimportnya dari Thailand.

"Getah beku lebih banyak digunakan dalam pembuatan bahan selaian sarung tangan dan kondom berbanding lateks yang mendapat permintaan lebih tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya selepas program Ekplorasi Amalan Pertanian Baik (APB) anjuran Pejabat RISDA Stesen Masjid Tanah di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah, hari ini.

Pada program itu, kira-kira 40 pekebun kecil yang dibahagikan kepada empat kumpulan bersaing untuk mempamerkan kemampuan menoreh, membaja, meracun dan menjawab soalan berkaitan RISDA.

Amirul Rasyidin berkata, pekebun kecil di Perak dan Kedah yang mempraktikkan pengeluaran lateks membuktikan mereka mampu menikmati pendapatan lebih tinggi berbanding pekebun yang mengeluarkan getah beku.

"Kebanyakan pekebun kecil sudah selesa dengan kaedah pengeluaran getah beku, iaitu toreh dan tinggalkan pokok selama dua atau tiga hari sebelum mengutip hasil untuk dijual kepada peraih berlesen.

"Kami boleh meminta MARDEC di Tapah, Perak yang mempunyai kemampuan mengumpulkan lateks untuk membeli lateks daripada pekebun kecil asalkan mereka ingin mengusahakan pengeluaran lateks," katanya.

Beliau menegaskan, tidak mustahil untuk pekebun kecil kembali mengeluarkan lateks sebagai produk utama seperti yang berlaku padatahun 1970-an dan 1980-an kerana RISDA bersedia membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:38 PM