MAHDZIR menyerahkan bantuan kepada pekebun kecil di Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda di Dewan Kolej Mara, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAHDZIR menyerahkan bantuan kepada pekebun kecil di Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda di Dewan Kolej Mara, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Harga lantai getah perlu dibincangkan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membantu lebih ramai penoreh luar bandar keluar dari garis kemiskinan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata perkara itu harus dikaji pihaknya bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan bagi melihat implikasi kewangan yang bakal ditanggung kerajaan sekiranya harga lantai getah ditetapkan.

"Saya secara peribadi menyokong harga lantai getah RM3.50 namun di pihak kerajaan kita perlu ada perbincangan khas mengenainya kerana setiap sen harga lantai yang ditetapkan akan memberi tanggungan besar kepada kerajaan.

"Contohnya jika harga getah ketika ini RM2.90 sekilogram dan harga lantai ditetapkan RM3.50, maka kerajaan perlu tambah setiap sen kenaikan itu.

"Ia perlu dikira dan diteliti satu persatu dengan jumlah pekebun dan keluasan hektar kebun getah termasuk harga pasaran dunia ketika itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda di Dewan Kolej Mara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihaknya menjangkakan penetapan harga lantai itu boleh dibuat, namun perlu mengambil masa sebelum dapat dilaksana.

Sementara itu, Mahdzir memaklumkan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sudah menyalurkan lebih RM50 juta bagi membangunkan pekebun kecil getah di Kedah.

Katanya, penyaluran peruntukan itu memberi manfaat kepada 73,642 pekebun kecil getah di negeri itu.

"Bagi tujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil, Skim Insentif Lateks (SIL) diperkenal dengan bantuan berjumlah RM479,000 yang memanfaatkan seramai 165 pekebun kecil di Baling, Sik, Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi dan Padang Terap.

"Skim Getah Matang di bawah Program Produktiviti dan Pemasaran juga disediakan dengan peruntukan berjumlah RM10.59 juta yang memberi manfaat kepada 5,801 pekebun kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 8:02 PM