SIVA berhadapan dua tuduhan membunuh.
SIVA berhadapan dua tuduhan membunuh.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Kluang: Seorang penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dua tuduhan membunuh nenek dan bekas teman wanitanya berusia 32 tahun dalam dua kejadian berasingan iaitu pada 2013 dan 25 Ogos lalu.

Tertuduh, V Siva, 33, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan berkenaan dibaca jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan Majistret Nurulhuda Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, Siva yang diwakili peguam, V Ramesh, didakwa menyebabkan kematian dengan niat terhadap neneknya, G Danata Letchumy, 85.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 25, Jalan Kinabalu, Taman Koperasi, di sini, antara jam 9.30 hingga 10.30 pagi, 11 Julai 2013.

Dia berdepan pertuduhan kedua membunuh dengan niat bekas teman wanitanya, S Chitra, di rumah beralamat di Jalan 8/6, Taman Desa Kluang, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 3.45 petang, 25 Ogos lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Siva didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Norafiah Saini memohon tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan forensik serta kimia.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai kejadian bunuh membabitkan seorang kerani yang ditemui mati dengan kesan jerutan di leher selain kepala terbenam di tab mandi di sebuah rumah di Taman Desa dekat sini.

Kejadian dipercayai berlaku antara 2.30 petang hingga 3 petang ketika mangsa berehat di rumahnya.

Seorang saksi mendakwa mangsa dikatakan keluar dari pejabat pada waktu makan tengah hari dan tidak masuk semula ke pejabat.

Berikutan itu, seorang suspek berusia sekitar 30-an yang juga bekas teman lelaki kepada mangsa ditahan polis kira-kira lima jam selepas mayatnya ditemui.

Suspek yang tinggal di Taman Seri Putera, Johor Bahru ditahan reman di lokap polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, sehingga 1 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kejadian membabitkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 5:54 AM