SEORANG petugas pengurusan jenazah di Jabatan Forensik HRPB menyiapkan keranda mengandungi jenazah.
SEORANG petugas pengurusan jenazah di Jabatan Forensik HRPB menyiapkan keranda mengandungi jenazah.

Kuantan: Pihak berkuasa sehingga kini belum mendapat pengesahan jumlah sebenar penumpang bot karam di barat daya Tanjung Sauh, dekat Sabak Bernam, Selangor, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata, ia menyebabkan pihak berkuasa perlu meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari penumpang bot itu.

“Setiap mangsa yang terselamat akan disoal untuk mengetahui jumlah sebenar penumpang bot terbabit dan setakat ini operasi SAR masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena meraikan persaraannya di Akademi Maritim Malaysia Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Gebeng, dekat sini, semalam.

Mohd Amdan akan menamatkan perkhidmatan dalam agensi terbabit bermula esok. Tugasnya diambil alih Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Mengulas lanjut, Mohd Amdan berkata, sehingga semalam, kawasan pencarian diperkecilkan sehingga 770 kilpmeter (km) persegi.

“Kami percaya mayat tidak akan hanyut lebih jauh dari itu berdasarkan pergerakan arus di Selat Melaka yang akan berhenti dan berpatah balik setiap enam jam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap APMM dapat meneruskan kecemerlangan sebagai agensi penguatkuasaan bukan sahaja di negara ini, malah antarabangsa.

“Banyak tugas dan tanggungjawab perlu dilaksanakan dalam menjadikan APMM sebagai agensi terbaik menjelang 2040 seperti termaktub dalam perancangan jangka panjang agensi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:06 AM