Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) perlu siap siaga dalam mengawal perairan negara yang berkeluasan 556,285 kilometer persegi daripada segala ancaman jenayah laut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seluruh rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada APMM untuk mengawal perairan negara yang daripada segala ancaman jenayah laut.

Menurutnya, oleh itu, kerjaya dan tugas sebagai penguat kuasa APMM sangat penting kerana melindungi perairan dan kedaulatan negara.

"Justeru, seluruh pegawai dan anggota Maritim Malaysia perlu sentiasa siap siaga memberikan khidmat dan bakti kepada negara kerana tugas dan tanggungjawab ini akan memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat malam ini bersama lebih 500 jemaah yang terdiri daripada pegawai dan anggota APMM, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin; Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM, Mohd Norzam Mustapa.

Majlis itu diadakan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke- 19 (HUT19) APMM di Masjid Mustaghfirin, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dekat sini.

Terdahulu, majlis itu dimulakan dengan sesi Ceramah Agama oleh Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham, dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan ceramah bertajuk 'Israk Mikraj Suatu Perjalanan Agung Rasulullah SAW Suatu ketahanan Jiwa dan Spritual Rasulullah SAW' sebagai mentor perjuangan APMM.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Maghrib dan solat hajat berjemaah serta bacaan Yassin dan doa selamat yang dipimpin oleh Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 8:56 AM