FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Amir Abd Hamid

Hutan Melintang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi bot karam hari ini membabitkan keluasan liputan udara 2,000 kilometer (KM) persegi manakala 530 KM persegi bagi aset laut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi SAR yang masuk hari kedua itu membabitkan tujuh agensi.

"Agensi yang terbabit dalam SAR ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan dan RELA.

"Selain itu, pihak Indonesia turut menghantar pasukan BAKORKAMLA iaitu agensi kelautan mereka," katanya dalam sidang media di Perhentian Feri Ladang Sungai Bernam, Hutan Melintang yang menjadi markas operasi SAR, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, kerajaan bekerjasama erat dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur untuk tindakan susulan mangsa yang terselamat dan terkorban dalam kejadian bot karam kira-kira 3.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, bot dipercayai membawa 70 penumpang itu karam dipukul badai di barat daya Tanjung Sauh, dekat Sabak Bernam, Selangor.

Jumlah korban setakat jam 12.30 tengah hari tadi adalah 15 mangsa manakala yang terselamat seramai 19 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 1:13 PM