GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hamzah Osman

Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan seramai 131 individu mati di perairan pulau ini sepanjang empat tahun lalu, manakala 51 individu lain dilaporkan hilang akibat kemalangan di laut dan masih belum ditemui sehingga ke hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, statistik itu direkodkan dalam 329 operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang pernah dikendalikan.

"Daripada jumlah kes terbabit seramai 2,279 mangsa berjaya diselamatkan dalam SAR yang dikendalikan sejak Januari 2019 hingga Julai lalu.

"Puncanya, kelengkapan keselamatan terutama pemakaian jaket keselamatan diabaikan," katanya pada sidang media selepas Melancarkan Video Keselamatan Penumpang Feri di Terminal Feri Penumpang Jeti Kuah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Laut Malaysia, Kapten Abdul Samad Shaik Othman dan Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid.

Hamid berkata, pihaknya memandang serius kerana sebanyak 166 kes membabitkan kemalangan sampan dan bot, manusia serta operasi pemindahan perubatan (Medevac) direkodkan di perairan pulau ini dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 8:59 PM