TENGKU Razaleigh (tengah) menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada Ab Aziz.
TENGKU Razaleigh (tengah) menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada Ab Aziz.

Gua Musang: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan rombakan kabinet kerajaan baru-baru ini hak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, perlantikan beberapa menteri dan timbalan menteri baru berkemungkinan memperkukuhkan barisan kepimpinan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau belum dapat menilai sejauh mana Kabinet baru itu mendapat sokongan rakyat atau sebaliknya.

“Pandangan Perdana Menteri, Kabinet dahulu tidak sesuai maka dia sudah rombak Kabinet dengan wujud Kabinet baru, tak tahulah sebabnya mungkin ada perkara yang tidak disenangi ... itulah cakap-cakap orang luar.

“Kita tengoklah kerana Kabinet baru rombak,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Belia Kelantan (MBK) di Bukit Chekati di sini, petang kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof, ADUN Nenggiri Datuk Mat Yusoff Ab Ghani, Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian Datuk Wan Hazani Mohd Nor dan Yang Dipertua MBK Mohd Syahbuddin Hashim.

Ditanya pandangan mengenai perkembangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian Gua Musang berkata, perkara itu dalam siasatan dan berharap perkara berkenaan diselesaikan segera.

“Kita tak tengok lagi laporannya dan ramai yang jumpa saya menyatakan tidak puas hati mengenai perkara itu kerana banyak mengelirukan. Kita tunggulah butiran sebenar yang diumumkan kerajaan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:10 AM