Kuala Terengganu: Jika sebelum ini mercun dijual secara sembunyi bagi mengelakkan kegiatan haram dihidu pihak berkuasa, kini penjual semakin berani apabila menawarkan bahan terlarang itu secara terbuka melalui laman sosial termasuk Facebook.

Hasil penelitian di Facebook, dua peniaga didapati bersedia menawarkan pelbagai jenis mercun termasuk mercun bola untuk orang ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, pihaknya menyedari kegiatan itu, namun selepas risikan dijalankan didapati ia tidak membabitkan negeri ini.

“Biarpun begitu polis masih menjalankan risikan dan pemantauan berterusan bagi memastikan kegiatan menjual bahan berbahaya itu dapat ditangani.

“Berdasarkan pengalaman lalu, biasanya mercun dijual di pasar termasuk bazar Ramadan, justeru kami sentiasa menjalankan pemantauan di kawasan tertentu yang dipercayai ada berlaku kegiatan menjual mercun,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.

Abdul Aziz berkata, rata-rata peniaga di negeri itu masih menggunakan taktik ‘kuno’ dengan menjual mercun yang dibenarkan antaranya bunga api dan ia dipamerkan di atas meja, tetapi pada masa sama menyimpan serta menawarkan mercun berbahaya serta menyalahi undang-undang kepada pelanggan yang berminat.

“Kami akan membuat pemeriksaan dan mereka sentiasa dalam pemerhatian polis supaya kegiatan itu dibendung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:57 AM