NAJIB memilih daging kambing panggang untuk juadah berbuka puasa, semalam.
NAJIB memilih daging kambing panggang untuk juadah berbuka puasa, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Air tebu, murtabak ayam, mi sup dan pasembor antara juadah berbuka puasa yang dibeli Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melawat bazar Ramadan Presint 3 yang terletak berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini, semalam.

Najib yang diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau juadah di bazar yang menempatkan lebih 300 peniaga itu.

Terdahulu Najib melancarkan Festival Ramadan Putrajaya 2015 yang diadakan dari semalam hingga 16 Julai ini serta mengagihkan bubur lambuk dan kurma sumbangan Kelab PMO dan MTMZA.

Sementara itu, Festival Ramadan Putrajaya membabitkan kawasan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj); Kiblat Walk dan MTMZA dengan objektif utama menarik pelancong dan pengunjung ke Putrajaya selaras dengan usaha menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai alternatif untuk mendapatkan barang keperluan sambutan Aidilfitri.

Sebanyak 95 unit kios jualan barangan raya disediakan di sepanjang laluan Kiblat Walk dan sekitar PPj dengan pelbagai jenis barangan persiapan Aidilfitri seperti pakaian, tudung, hiasan rumah dan biskut raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 9:55 AM