Festival Ramadan Putrajaya melanjutkan operasinya sehingga 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan ini sehingga menjelang malam Hari Raya Aidilfitri nanti.
Festival Ramadan Putrajaya melanjutkan operasinya sehingga 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan ini sehingga menjelang malam Hari Raya Aidilfitri nanti.

Putrajaya: Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai festival Ramadan terbesar di sini malah berjaya menarik hampir 600,000 pengunjung sejak berlangsung 22 Mac lalu.

Penganjur yang juga Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn Bhd, Shahrul Musa berkata, apa yang membanggakan, jumlah pengunjung dicatatkan pada pertengahan Ramadan lalu walaupun pihaknya menetapkan sasaran 500,000 pengunjung selama sebulan festival itu berlangsung.

"FRP 2023 terus mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad sejak bermula apabila pengunjung yang datang bukan sahaja dari kawasan sekitar malah dari luar Putrajaya.

"Pengunjung tidak putus-putus datang dari pelbagai kawasan lebih-lebih lagi di saat akhir bagi mendapatkan semua kelengkapan Hari Raya apatah lagi ia membabitkan empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar dengan lokasi terbabit adalah di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan lima lokasi bazar Ramadan Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Seramai 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain Bangi diraikan di mana FRP 2023 bekerjasama bersama dua vendor, Zareth Zehra dan Elrah bagi menyumbang baju Melayu serta baju kurung selain memberi duit raya.
Seramai 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain Bangi diraikan di mana FRP 2023 bekerjasama bersama dua vendor, Zareth Zehra dan Elrah bagi menyumbang baju Melayu serta baju kurung selain memberi duit raya.

Sementara itu, seramai 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain Bangi diraikan di mana FRP 2023 bekerjasama bersama dua vendor, Zareth Zehra dan Elrah bagi menyumbang baju Melayu dan baju kurung selain memberi duit raya kepada anak-anak itu dalam memberi keceriaan kepada mereka menyambut Aidilfitri nanti.

Ketika ini, FRP 2023 melanjutkan operasinya sehingga 5 pagi untuk 10 hari terakhir Ramadan ini sehingga menjelang malam Hari Raya Aidilfitri.

Waktu operasi baharu itu bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kelengkapan hari raya pada saat-saat akhir.

Sebelum ini, waktu operasi festival yang bermula sehari sebelum Ramadan itu dibuka jam 12 tengahari hingga 12 tengah malam di mana lanjutan operasi itu memberi peluang kepada 250 vendor FRP 2023 menawarkan harga diskaun dan berpatutan kepada pengunjung.

Menjelang tiga hari terakhir Ramadan juga, vendor yang mengambil bahagian turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menerusi promosi 'happy hour'.

Festival itu dianjurkan dengan tujuan menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya bagi menyemarakkan semangat Ramadan.

Antara selebriti yang menyertai Festival ini termasuklah Mawi, Rayme Zainal, Saharul Ridzwan, Adira Suhaimi, Asfnan Shah, Afzan, Shahz Jaszle dan Elly Ariffin.

Turut dimeriahkan seramai 48 usahawan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta 14 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pengunjung berpeluang mengambil bahagian dalam cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal berharga RM10,000 apabila mereka berbelanja sebanyak RM100 dalam satu resit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 5:15 PM