Penganjur FRP 2024, Shahrul Musa (tiga dari kanan) bersama barisan rakan strategik dan penaja, Rantai Arts, Semboyan Malaysia, Tempatan Fest, Platform PCari dan Minaz.
Penganjur FRP 2024, Shahrul Musa (tiga dari kanan) bersama barisan rakan strategik dan penaja, Rantai Arts, Semboyan Malaysia, Tempatan Fest, Platform PCari dan Minaz.
Sudirman Mohd Tahir


Putrajaya: Hampir 1,000 peniaga akan 'berkampung' rezeki di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di sini, membabitkan lima lokasi bazar Ramadan dan satu bazar mega Aidilfitri sempena Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP 2024).

Pengarah Perlesenan Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya Jeffri Mustapa berkata, festival terbahagi kepada lima komponen utama iaitu lima lokasi bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk, Laman Iftar dan Food Truck Ramadan.

"Bazar bermula 12 Mac hingga 9 April dan bazar mega Aidilfitri pula pada 8 Mac hingga 9 April.

"Festival ini masih mengekalkan tema yang sama sebagaimana tahun lepas iaitu Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran.

"Perbadanan Putrajaya (PPj) juga melihat FRP24 sebagai satu pusat sehenti yang memudahkan pengunjung untuk mendapatkan pelbagai keperluan seperti juadah berbuka puasa termasuk barangan persiapan untuk menyambut hari raya.

"Saban tahun, PPj melihat penganjuran festival ini semakin mendapat tempat di hati pengunjung. Untuk rekod, 2023 menyaksikan jumlah kehadiran pengunjung mencecah seramai 600,000 orang," katanya.

Menurutnya, FRP2024 akan bekerjasama bersama platform gergasi media sosial, TikTok yang disediakan di FRP 2024.

"'Menerusi jalinan kerjasama ini, diyakini mampu mengembalikan kuasa beli orang ramai terutama dengan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini," katanya.

Usahawan terbabit boleh menggunakan tagline #kongsibersama dan #festivalramadanputrajaya dan berpeluang membuat promosi produk masing-masing bersama pempengaruh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:15 PM