Khalid melawat gerai jualan selepas Majlis Perasmian Festival Ramadan Putrajaya 2019. Luqman Hakim Zubir
Khalid melawat gerai jualan selepas Majlis Perasmian Festival Ramadan Putrajaya 2019. Luqman Hakim Zubir
Mohd Husni Mohd Noor


LEBIH 1,000 menu berbuka puasa menanti warga Putrajaya di Bazar Ramadan Putrajaya bermula Isnin ini.

Bazar terletak bersebelahan Masjid Tuanku Zainal Abidin (MTMZA) yang disertai 300 peniaga itu bermula 4 petang hingga 7.30 malam.

Antara menu yang dijual adalah aneka kuih muih, lauk pauk, kambing bakar, air tebu, air kelapa serta pelbagai menu menarik lain.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, Bazar Ramadan adalah antara tiga komponen dalam Festival Ramadan Putrajaya 2019 selain Anjung Syawal dan Laman Iftar.

Beliau berkata, Bazar Ramadan kali ini akan beroperasi di sebelah MTMZA berbanding di tempat parkir kereta sebelah Istana Kehakiman.

“Penukaran lokasi ini adalah bagi memberi keselesaan kepada pengunjung selain tempat letak kereta yang luas dan selesa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Festival Ramadan Putrajaya 2019 di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Khalid turut mengucapkan tahniah kepada PPj kerana menganjurkan festival yang kini masuk tahun ketujuh penganjuran.

Menurutnya, Festival Ramadan Putrajaya adalah salah satu acara utama PPj yang bertujuan menyambut Ramadan dengan pelbagai pengisian berbentuk kerohanian di samping menyediakan alternatif kepada masyarakat untuk mendapatkan pelbagai barangan bagi persiapan hari raya.

“Selain itu, festival ini juga bertujuan membantu penjaja, peniaga perusahaan kecil dan sederhana bagi menjana pendapatan melalui jualan produk masing-masing di samping mengeratkan hubungan kemasyarakatan dalam kalangan komuniti, warga kerja PPj dan peniaga,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, Anjung Syawal pula menempatkan lebih 300 peniaga yang menyediakan jualan barangan perhiasan raya yang beroperasi dalam khemah berhawa dingin.

“Laman Iftar pula terletak di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya yang memberikan pilihan kepada pengunjung untuk berbuka puasa berkonsepkan ‘outdoor dining’ iaitu atas padang rumput,” katanya.

Katanya, seperti tahun lalu, Festival Ramadan Putrajaya tahun ini akan diisi dengan pelbagai program berbentuk kerohanian antaranya The Mufti Talk, The Anbiya’ Way, Pameran Seni Lukis Nama Allah Route 99,Sudut Infaq, Program Bubur Lambuk dan Tazkirah Muzikal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 9:16 PM