SULTAN Ibrahim meletakkan kubik berwarna kuning keemasan sebagai sentuhan terakhir penyempurnaan pembinaan istana lego berkenaan.
SULTAN Ibrahim meletakkan kubik berwarna kuning keemasan sebagai sentuhan terakhir penyempurnaan pembinaan istana lego berkenaan.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Nusajaya: Replika Istana Bukit Serene yang menggunakan 278,023 lego menjadi tarikan terbaru di Legoland Malaysia, di sini.

Pembinaan istana seluas 155.82 meter persegi itu mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang turut mencemar duli dengan meletakkan kubik berwarna kuning keemasan sebagai sentuhan terakhir penyempurnaan pembinaan istana berkenaan.

Istana Bukit Serene adalah kediaman rasmi keluarga Diraja Johor yang terletak berhadapan Teluk Danga dan siap dibina pada 1939 sekali gus menjadi mercu tanda negeri ini.

Ketua Pereka Model Legoland Stefan Bentivoglio berkata, pembinaan model seberat 350 kilogram yang menyerupai bangunan sebenar berskala 1:20 itu mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan oleh tujuh pereka.

“Idea untuk membina istana ini dibuat ketika pengumuman Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Mac lalu, dan kita mengusulkannya kepada Sultan Ibrahim yang turut berkenan dengan pembinaannya,” katanya selepas pelancaran binaan lego itu, di sini, semalam.

Stefan berkata, pembinaan istana ini merangkumi enam komponen utama kediaman Diraja yang dibahagi kepada tiga binaan selain pintu gerbang dan beberapa bangunan di kawasan istana itu.

“Menariknya pembinaan istana ini turut membabitkan ikon kecil iaitu seekor kucing hitam di atas bumbung istana berdasarkan cerita Sultan Ibrahim mengenai kehadiran kucing berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:13 AM