DATUK Mirza (kanan) bersama Germyn merasmikan LEGO Ninjago.
DATUK Mirza (kanan) bersama Germyn merasmikan LEGO Ninjago.
PATUNG LEGO gergasi di hadapan Hotel LEGOLAND menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar.
PATUNG LEGO gergasi di hadapan Hotel LEGOLAND menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar.
PATUNG LEGO Ninjago yang digunakan dalam pertunjukan setinggi 1.2 meter.
PATUNG LEGO Ninjago yang digunakan dalam pertunjukan setinggi 1.2 meter.
PERSEMBAHAN menarik kerana menggunakan efek khas dengan koordinasi lampu menarik.
PERSEMBAHAN menarik kerana menggunakan efek khas dengan koordinasi lampu menarik.
TAMAN tema air LEGOLAND dibuka dari jam 10 pagi setiap hari.
TAMAN tema air LEGOLAND dibuka dari jam 10 pagi setiap hari.
WAT ARUN antara binaan menarik di Miniland.
WAT ARUN antara binaan menarik di Miniland.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Baik kanak-kanak mahupun orang dewasa, pelancong tempatan atau luar negara, LEGOLAND, taman tema terkemuka di Nusajaya, Johor Bahru pasti memenuhi impian dan cita rasa anda.

Lebih menarik, LEGOLAND juga ada hotel sendiri bersebelahan taman temanya bagi memudahkan pengunjung yang ingin bermalam.

Akhir bulan lalu, penulis berkesempatan berkunjung ke LEGOLAND dengan kerjasama Tourism Malaysia.

Perjalanan bermula dengan menaiki bas dari Putrajaya ke Johor Bahru yang mengambil masa kira-kira empat jam.

Tiba di Johor Bahru, rombongan media singgah bermalam di Hotel Thistle bersebelahan Dataran Bandaraya Johor Bahru sebelum bergerak ke taman tema berkenaan keesokan harinya.

Perjalanan ke LEGOLAND bermula jam 9.30 pagi dan kami tiba setengah jam kemudian sebelum dibawa melawat dan melihat keunikan Hotel LEGOLAND sebelum meneroka ke taman tema.

Di lobi hotel, ada banyak hiasan menarik diperbuat daripada LEGO, malah kanak-kanak boleh bermain dengan ribuan kepingan LEGO yang disediakan sementara menunggu ibu bapa berurusan di kaunter.

Terdapat 249 bilik di hotel berkenaan dan pengunjung dinasihat membuat tempahan kerana bilik sentiasa penuh tanpa mengira musim.

Taman tema LEGOLAND yang berkonsepkan ‘outdoor’ menawarkan lebih 40 tarikan untuk seisi keluarga seperti LEGO City, LEGO Kingdoms, LEGO Technic, LEGO Star Wars dan Miniland.

Selain itu, taman tema air juga disediakan bersebelahan tama tema LEGO dan kedua-duanya mula beroperasi pada jam 10 pagi.

Kunjungan penulis cukup bermakna apabila berpeluang merasai pengalaman tarikan terbaru di LEGOLAND iaitu pertunjukan ‘LEGO Ninjago The Realm of Shadow’ yang dirasmikan pada hari kami tiba.

Pertunjukan itu dirasmikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan Pengurus Besar LEGOLAND Malaysia Resort Mark Germyn.

Menurut Germyn, persembahan itu menampilkan enam patung yang setiap satu setinggi 1.2 meter dan dikelola 17 kru.

“Pertunjukan ini dinanti-nantikan pengunjung kerana watak kartun global terkemuka dapat disaksi secara langsung manakala persembahan direka khas oleh pasukan antarabangsa,” katanya.

Pertunjukan yang berlangsung selama 20 minit itu bukan saja mampu membuat penonton terhibur, malah terpesona dengan penggunaan lampu dan efek khas.

Paparan pada skrin lebar pasti tidak mengecewakan, apatah lagi dengan penceritaan menarik kerana penonton bagaikan sebahagian daripada pertunjukan kerana setiap watak turut berinteraksi dengan mereka.

Selain pertunjukan LEGO Ninjago, antara tarikan baru ialah binaan Istana Bukit Serene di Miniland yang menggunakan jutaan LEGO.

Untuk rekod, lebih 30 juta LEGO digunakan untuk pembinaan keseluruhan bangunan replika di Miniland seperti Angkor Wat, Tembok Besar China, Tanah Lot, Taj Mahal, Wat Arun, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Penulis juga berkesempatan ke Hello Kitty Town yang terletak tidak jauh dari LEGOLAND iaitu di Puteri Harbour.

Bagi penggemar kartun Hello Kitty, anda pasti jatuh cinta dengan hiasan dalaman rumahnya kerana setiap perabot dan barangan begitu menawan.

Dari meja makan, katil dan perhiasan bilik tidur serta alatan bilik mandi, setiap satu memiliki ciri tersendiri dan unik bagi mengekalkan tema dan disesuaikan dengan Hello Kitty.

Di bangunan sama turut ditempatkan taman tema The Little Big Club yang menampilkan watak kartun popular seperti ‘Thomas & Friends’ yang lebih digemari kanak-kanak lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 8:58 AM