Karachi: Kerajaan Pakistan mengesahkan nahas helikopter yang mengorbankan tujuh nyawa termasuk isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud, kelmarin disebabkan masalah teknikal.

Memetik laporan Pakistan Express Tribune, Setiausaha Luar Aizaz Ahmad Chaudhry berkata, hasil siasatan mendapati helikopter itu mengalami masalah teknikal dalam enjin ketika mahu melakukan pendaratan, sekali gus menolak kemungkinan pesawat ditembak puak Taliban.

“Kita juga berjaya menemui kotak hitam pesawat malang berkenaan, sekali gus mengetahui apa punca sebenar kejadian.

“Satu badan siasatan turut ditubuhkan untuk menyiasat keseluruhan tragedi yang meragut tujuh nyawa ini sebelum didedahkan kepada umum,” katanya pada sidang media, semalam.

Aizaz berkata, tidak timbul isu keganasan kerana hampir 1,000 askar dikerahkan bertugas di lokasi kejadian dan turut terdapat petugas berada di kedudukan tinggi.

“Apa yang dapat disimpulkan buat masa ini, kejadian ini adalah kemalangan yang boleh berlaku di mana-mana,” katanya.

Mengulas mengenai keadaan helikopter, Aizaz berkata, pesawat itu diselenggara 11 jam sebelum kemalangan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:12 AM