Shah Alam: “Jalan penyelesaian terbaik adalah merobohkan semua rumah ini dan bina semula. Hanya itu cara pemaju mengenal pasti punca masalah sebenar,” kata Andrew Devidass, 36, pemilik rumah di Jalan Plumbum 7/101A, Seksyen 7, di sini yang mengalami masalah mendapan.

Menurutnya, penduduk sanggup menunggu lama bagi proses pembinaan semula asalkan masalah itu selesai.

“Jika pihak bertanggungjawab tidak melakukan sesuatu terhadap masalah ini, dibimbangi keadaan boleh menjadi tambah serius.

“Kami boleh berpindah, tetapi berilah pampasan setimpal. Jika tidak robohkan rumah ini dan bina semula,” katanya semalam.

Pada 2 April lalu, berlaku kejadian tanah mendap di kawasan itu menyebabkan 12 rumah penduduk mengalami retak teruk.

Berikutan itu semua penghuni terbabit diminta meninggalkan rumah masing-masing sebelum esok bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Tinjauan semalam mendapati penduduk sibuk mengemas barang, malah ada antara mereka sudah berpindah keluar.

Difahamkan ada antara penduduk menetap di hotel berhampiran dan ada antara mereka berpindah mencari rumah sewa.

Sementara itu, penghuni lain, Shahriman Zainal Abidin, 43, berkata, dia sedih dan kecewa apabila disuruh berpindah dalam tempoh masa singkat.

“Ketika ini kami agak tertekan untuk mencari rumah sewa memandangkan tempoh kami ditempatkan di hotel hanyalah seminggu sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:19 AM