NORLELA (kanan) di Rumah Jalinan Kasih Anak-anak Yatim Miskin Selangor. FOTO Hafiz Sohaimi
NORLELA (kanan) di Rumah Jalinan Kasih Anak-anak Yatim Miskin Selangor. FOTO Hafiz Sohaimi
Nur Lela Zulkipli


“PENGORBANAN dan usaha saya selama ini untuk membela nasib anak yatim dan miskin mungkin lebur sekelip mata sekiranya kami perlu keluar dari rumah perlindungan ini.”

Itu keluhan Norlela Othman, 57, yang buntu memikirkan nasib 48 anak yatim dan miskin di bawah jagaannya selepas menerima notis mengosongkan kediaman dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mac lalu kerana dikatakan mengganggu ketenteraman penduduk.

Norlela yang juga bekas pesakit kanser payudara dan tulang itu membuka Persatuan Kebajikan Rumah Jalinan Kasih Anak-Anak Yatim Miskin Selangor sejak 10 tahun lalu di Jalan Megah 31 di Cheras, di sini, untuk membantu golongan memerlukan berlindung.

Namun, kehadiran mereka dikatakan tidak disenangi pihak tertentu.

“Saya dan suami selama ini sedaya upaya menyediakan tempat tinggal untuk kanak-kanak dan remaja yang memerlukan namun tiba-tiba saja terdapat individu yang baru berpindah ke sini tidak menyenangi operasi rumah perlindungan ini.

“Disebabkan aduan daripada seorang jiran, MPKj memberi notis kepada kami supaya mengosongkan rumah ini dalam masa tiga bulan.

“Saya tidak mampu mengeluarkan dana yang besar dengan segera untuk berpindah keluar, apatah lagi untuk mencari rumah yang sesuai pada kadar sewa yang rendah seperti sekarang,” katanya.

Rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak dan remaja perempuan itu sekarang disewa pada kadar RM800 sebulan, malah tuan rumah turut tidak berkira sekiranya Norlela tidak mampu atau terlewat membayar sewa.

Kemudahan itu sedikit sebanyak meringankan beban Norlela untuk menampung perbelanjaan penghuni rumah berkenaan yang mencecah RM15,000 setiap bulan.

Lebih menyedihkan, penghuni rumah perlindungan berkenaan juga tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka perlu berpindah keluar kerana sudah serasi dengan kejiranan itu.

“Sepanjang 10 tahun menguruskan rumah perlindungan, saya pastikan tiada seorang penghuni pun menganggu ketenteraman jiran.

“Namun, sudah menjadi lumrah kanak-kanak di mana mereka sering bermain dengan suara yang agak kuat sehingga mengganggu jiran sebelah.

“Kami akhirnya perlu akur dengan bantahan yang dikemukakan jiran bersebelahan apabila MPKj memaklumkan kami perlu berpindah keluar dari rumah perlindungan ini,” katanya.

NORLELA bersama anak-anak yatim mengemas rumah kebajikan yang dibuka sejak 10 tahun lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
NORLELA bersama anak-anak yatim mengemas rumah kebajikan yang dibuka sejak 10 tahun lalu. FOTO Hafiz Sohaimi

Menurut Norlela lagi, dia ada mencari rumah sewa baru di kawasan berhampiran namun sewa yang dikenakan melebihi RM2,000 sebulan dan perlu membayar deposit yang tinggi.

“Saya juga perlu mengubah suai rumah baru supaya sesuai dengan spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat atau saya tidak boleh beroperasi langsung.

“Kos untuk ubah suai rumah juga sangat besar sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Wang yang ada hanya cukup-cukup makan untuk keperluan harian dan sekolah anak-anak di sini,” katanya.

Kata ibu kepada enam anak itu, dia sendiri sudah sedaya upaya berjimat dengan meminta pertolongan anak dan suami menguruskan keperluan anak yatim dan miskin di bawah jagaannya.

“Saya bersyukur apabila ramai insan yang sanggup menjaga anak-anak ini tanpa mengharapkan balasan atau upah yang tinggi.

“Namun, bila masalah ini timbul, saya tiada saluran lain untuk mendapatkan dana yang besar. Anak-anak di sini juga dikenali oleh majoriti penduduk, malah ada penduduk yang sudah menganggap mereka seperti anak sendiri,” katanya.

Norlela turut keberatan untuk memisahkan anak yang dijaga sekiranya tidak mampu menyediakan rumah yang sesuai untuk dijadikan rumah perlindungan.

“Penghuni di sini trauma apabila perlu berpisah dengan keluarga mereka. Jadi, apabila diberitahu mungkin mereka akan diagihkan ke rumah perlindungan lain, semuanya sedih dan tidak mahu berpisah.

“Kami di sini sudah seperti satu keluarga besar di mana kami menjaga kebajikan masing-masing tanpa meminta untuk dimewahkan. Cukuplah kami dapat hidup bersama,” katanya.

Katanya lagi, dia kini dalam proses mengumpul tandatangan daripada 52 penduduk berhampiran rumah perlindungan itu untuk diserahkan kepada MPKj bagi mempertimbangkan semula notis berkenaan.

“Saya sudah mendapatkan kelulusan daripada MPKj untuk beroperasi sehingga hujung tahun lalu, namun saya gagal untuk perbaharui lesen disebabkan aduan jiran berkenaan.

“Saya sanggup mengikut apa saja syarat yang dikenakan pihak MPKj asalkan dapat mengekalkan rumah perlindungan ini yang memberi banyak memori kepada semua penghuni dan juga penduduk lain yang sentiasa bersama kami,” katanya.

NORLELA berbual dengan anak-anak yatim. FOTO Hafiz Sohaimi
NORLELA berbual dengan anak-anak yatim. FOTO Hafiz Sohaimi

MPKj pertimbang tarik semula notis kosongkan bangunan

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersedia mempertimbangkan menarik semula notis mengosongkan bangunan sekiranya pengadu dan pengurus rumah perlindungan mencapai kata sepakat.

Pegawai Perancangan di Jabatan Perancangan dan Pembangunan MPKj, Sazzelina Ismail, berkata pengurus rumah Jalinan Kasih Anak-Anak Yatim Miskin Selangor, Norlela Othman perlu mendapatkan persetujuan dari penduduk yang membantah jika mahu meneruskan operasi rumah berkenaan.

“MPKj sebenarnya dalam keadaan tersepit kerana situasi kedua-dua pihak perlu kami ambil perhatian. Selama beberapa tahun rumah perlindungan itu beroperasi tanpa lesen dari pihak kami pun, masih tiada tindakan diambil atas belas ihsan.

“Namun memandangkan terdapat aduan biarpun daripada seorang penduduk, kami perlu ambil tindakan yang sewajarnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Masalah ini akan selesai sekiranya semua penduduk di depan, belakang dan bersebelahan bersetuju dengan operasi rumah perlindungan di kawasan itu,” katanya kepada Harian Metro di sini.

Sazzelina turut mengesahkan hanya seorang jiran yang mengadu kurang selesa dengan rumah perlindungan berkenaan atas alasan kanak-kanak sering membuat bising selain masalah parkir di depan rumah berkenaan.

“Ya, memang benar hanya seorang saja penduduk yang membuat bantahan kepada MPKj kerana mereka berkongsi dinding. Ini secara tidak langsung menguatkan lagi aduan berkenaan kerana individu itu adalah yang paling hampir dengan rumah perlindungan berkenaan.

“Kita juga tidak turun padang untuk berjumpa dengan penduduk lain kerana majoriti mereka tidak membantah dan hanya bantahan yang diambil kira sebagai isu setempat,” katanya.

Katanya lagi, MPKj sudah cuba untuk menyatukan semua pihak dalam satu perjumpaan, namun tiada kata sepakat yang dicapai malah hanya berdiam diri.

“Sebelum ini dalam perjumpaan di MPKj kedua-dua pihak langsung tidak memberi kerjasam untuk berbincang dan ia hanya menyebabkan masalah semakin berpanjangan.

“Penyelesaian masalah ini akan menjadi mudah jika semua pihak bekerjasama. Hidup berjiran memang perlu bertolak ansur dan tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri.

“Jika kedua-dua pihak berdamai, saya fikir MPKj juga tiada masalah untuk menarik semula notis dan operasi rumah perlindungan boleh berjalan seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 6:30 AM