Raja Noraina Raja Rahim

Putrajaya: Karnival Jom Heboh (KJH) yang berlangsung di Anjung Floria, Presint 4 di sini, berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum selari konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluangkan masa singgah ke program anjuran Media Prima Berhad (MPB) berkata, beliau teruja melihat kehadiran orang ramai daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.

"Saya lihat hari ini ramai datang berkeluarga, bukan saja satu kaum (Melayu) tetapi ada juga kaum Cina dan India yang datang ke sini. Mereka bukan saja datang dari Kuala Lumpur tetapi Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.

"Ini adalah perhimpunan keluarga yang besar dihimpunkan di bawah program Karnival Jom Heboh dan ini selari Keluarga Malaysia yang saya bawa," katanya ketika ditemui di reruai The New Straits Times Press Berhad (NSTP) pada karnival itu, hari ini.

Mengiringi beliau ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias; Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.

ISMAIL Sabri mencuba aktiviti di reruai NSTP di Karnival Jom Heboh 2022 di Anjung Floria, Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin
ISMAIL Sabri mencuba aktiviti di reruai NSTP di Karnival Jom Heboh 2022 di Anjung Floria, Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin

Semasa sesi kunjungan itu, beliau turut menerima penerangan mengenai produk NSTP oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan meluangkan masa mencuba permainan pesta seperti membaling tin dan gegelung.

Perdana Menteri turut melawat reruai lain termasuk TV3, DidikTV, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan pameran haiwan sambil beramah mesra dengan orang ramai di lokasi program.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau berpuas hati dengan pengisian KJH yang sesuai kepada golongan dewasa serta kanak-kanak.

"Saya melihat pengisiannya cukup menarik sekali bukan saja untuk orang dewasa tapi juga kanak-kanak dan pencinta kucing macam saya dengan adanya pameran haiwan. Saya luang masa lama di ruang pameran haiwan itu tadi," katanya.

Perdana Menteri turut mengajak orang ramai yang belum datang ke KJH diadakan selama dua hari sehingga esok itu supaya meluangkan masa bersama keluarga berkunjung ke karnival berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 6:16 PM