Kuala Lumpur: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyuarakan sokongan penuh mereka kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri dan pengerusi BN.

Bercakap bagi pihak semua pemimpin itu, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata parti komponen BN menyokong kepemimpinan Najib melaksanakan program transformasi kerajaan memacu negara ini ke arah mencapai wawasannya menjadi negara maju menjelang 2020.

“Kami akan sentiasa berdiri teguh di belakang beliau dan yakin dengan kepemimpinan beliau,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen.

Pemimpin BN lain yang hadir pada sidang akhbar itu ialah presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, presiden PPP Tan Sri M Kayveas, presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup, Presiden LDP Datuk Teo Chee Kang, pemangku presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau, presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing, presiden PRS Tan Sri Dr James Masing dan presiden SUPP Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Liow berkata keputusan menyuarakan sokongan itu diambil semua pemimpin parti komponen BN berikutan mesyuarat semalam.

Adenan berkata, keputusan itu bersifat sebulat suara dan dibuat “bagi mengelak wujudnya sebarang spekulasi tentang BN.”

Diminta mengulas mengenai undang-undang hudud untuk umat Islam yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Liow berkata: “Perdana menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu, esok.”

DUN Kelantan semalam sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Pindaan 2015) yang membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan terhadap umat Islam.
– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:56 AM