Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mahu Perhimpunan Rakyat Bersatu yang dirancang esok mematuhi undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak menegaskan, pimpinan komponen parti itu berbeza pendirian berkaitan penganjuran perhimpunan berkenaan.

“Kita bersetuju untuk tidak bersetuju dengan perhimpunan berkenaan kerana ada pemimpin komponen yang menyatakan kebimbangan mereka dan kita bersetuju dengan pandangan itu.

“Kerana itu perhimpunan itu mesti mematuhi segala undang-undang kerana tarikh berkenaan tidak sesuai dengan semangat hari pembentukan Malaysia,” kata beliau.

Dalam mesyuarat sama, BN juga akan membentangkan laporan prestasi parti itu pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Najib berkata, laporan itu berasaskan pencapaian parti berkenaan menunaikan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat.

Pembentangan yang akan dibuat tahun ini akan ditentukan kaedahnya kemudian.

“Selama dua tahun setengah kita sudah laksanakan projek dan program bersandarkan akujanji melalui manifesto BN,” kata beliau.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut hadir.

Mesyuarat yang dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen ini adalah yang pertama diadakan selepas rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 9:52 AM