Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu MCA sentiasa mengekalkan perpaduan bagi memastikan ia terus kuat untuk memainkan peranan dalam Barisan Nasional (BN) sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina terhadap parti itu.

Beliau berkata, bagi memastikan perkara itu mereka perlu menghentikan amalan berpuak atau mewujudkan kumpulan tertentu serta bertelingkah sesama mereka hingga melemahkan parti itu dan membosankan rakyat.

Katanya, parti juga perlu bijak memilih pemimpin terbaik yang boleh menang dalam pilihan raya umum bukannya dipilih mewakili kumpulan tertentu yang akhirnya tewas.

"Saya sebagai Pengerusi BN pun tak berapa kenal calon secara perseorangan. Ada calon DUN pun saya tak kenal setiap daripada mereka, (jadi) kemukakanlah calon yang layak dan terbaik, tapi kalau ada team A, B susahlah, saya pun susah.

"Selain itu, amat penting supaya MCA jelas dengan hala tuju mereka kerana perselisihan yang berlaku dalam parti sebelum ini menyebabkan parti itu hilang arah dan tujuan.

"Bagaimana rakyat bosan dengan krisis pakatan pembangkang yang berlaku di Selangor, begitu juga sekiranya berlaku pada MCA. Jadi, cukuplah, jangan gaduh lagi," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-61 MCA di Wisma MCA, semlam.

Turut hadir beberapa pemimpin parti komponen BN termasuk Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, Presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan memberi jaminan akan terus melindungi dan memelihara hak pendidikan kaum Cina di negara ini kerana ia sudah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

"Jangan risau mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sudah termaktub bahawa hak belajar bahasa ibunda dalam undang-undang negara, dan ia juga dalam Dasar Pendidikan Negara. Sebab itu saya bagi peruntukan baru kepada SJKC dalam bajet kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM