Muhyiddin, Adenan  (kiri) dan Tiong (kanan) pada Majlis Perhimpunan Agung Tri-Tahunan SPDP 2014 di Dewan Suarah, Bintulu.
Muhyiddin, Adenan (kiri) dan Tiong (kanan) pada Majlis Perhimpunan Agung Tri-Tahunan SPDP 2014 di Dewan Suarah, Bintulu.
Oleh Alias Abd Rani


Bintulu: “Muktamad dan tidak perlu dikaji semula,” tegas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai Akta Hasutan 1948, semalam.

Beliau berkata, keputusan mengekalkan akta itu adalah muktamad dan tidak perlu dikaji semula memandangkan sudah dibincang dengan teliti serta mendapat pandangan semua pihak.

“Kita (Malaysia) berhak membuat sebarang keputusan demi kepentingan keselamatan dan keamanan negara. Ini termasuklah mengekalkan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948.

“Orang luar tidak perlu campur tangan dalam hal ini,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tri-tahunan Parti Progresif Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengulas kritikan dilontarkan pelbagai pihak termasuk Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Duta Besar AS di Malaysia Joseph Kahn, Muhyiddin berkata, negara tidak pernah campur tangan isu dalaman negara luar dan meminta mereka supaya menghormati pendirian Malaysia.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan cadangan pindaan memasukkan dua peruntukan khas bagi mengukuhkan lagi akta itu.

Menurut Najib, kedua-dua peruntukan khas itu bertujuan melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:05 AM